Thursday, January 24, 2013

Salam Maulidur Rasul



Sajak Maulidur Rasul
Submitted by admin on Sun, 2006-12-31 18:48
Sajak Maulidur Rasul
oleh Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi
Mari kita bercerita tentang Nabi kita,
Iaitu Rasulullah SAW, penyelamat manusia dunia akhirat,
Walaupun sebelum ini kita telah menceritakan banyak kali tentangnya,
Mungkin kita ceritakan disudut-sudut lain yang belum diceritakan lagi,
Kalau pun diceritakan lagi banyak kali tidak mengapa,
Supaya yang lupa diingat kembali,
Bertambah ingat lagi,
Nabi Muhammad SAW orang luar biasa yang tidak ada taranya,
Sebelum dan sesudahnya dikalangan manusia,
Sekalipun dikalangan para rasul dan para nabi yang telah diberita,
Dia adalah rohnya malaikat dan tubuhnya manusia,
Orang paling cerdik dan paling bersih rohnya,
Dikalangan manusia sebelum dan sesudahnya,
Maka dia diberi julukan oleh Tuhan ‘fathonah’,
Bahkan yang paling ‘Fathonah’ dikalangan rasul-Nya,
Ilmunya bukan didapati dari aqalnya,
Walaupun dia orang yang paling tajam aqalnya,
Dia mendapat ilmu dijatuhkan Tuhan didalam hatinya,
Wahyu namanya, dia belajar langsung dari Tuhannya,
Kerana inilah dia tidak perlu menulis
Dan membaca seperti manusia biasa,
Kerana itulah ilmunya tidak dilupa sepanjang masa,
Kalau dari aqal mungkin dilupakannya,
Ilmunya menceritakan dunia dan akhirat,
Tawakalnya luarbiasa,
Sebab itulah dimalamnya makanan tidak disimpan untuk esok harinya
Dan diberikan kepada manusia yang memerlukannya
Kerana dia yakin, kalau esoknya dia hidup
Tuhan merezekikannya,
Dia tidak membunuh orang,
Walaupun disetengah-setengah waktu dia boleh membunuhnya,
Tapi dia tidak membunuhnya,
Dia mengambil jalan yang utama,
Iaitu memaafkannya,
Kerana itu orang itu Islam ditangannya,
Beraninya luarbiasa tiada tandingannya,
Dia sanggup lalu dihadapan musuhnya seorang diri,
Musuhnya tidak mengapa-apakannya bahkan terpinga-pinga,
Kasih sayangnya sangat ketara,
Terutama kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda,
Orang yang bersalah dimaafkannya,
Sekalipun orang itu tidak memintanya,
Pernah hamba sahaya hendak dihukum oleh tuannya,
Dia membuka bajunya untuk disebat,
Pengganti hamba sahaya, tuan hamba sahaya itu malu dibuatnya,
Lalu dimerdekakannya,
Pernah Rasulullah SAW membeli hamba sahaya kemudian dimerdekakannya,
Pemurahnya tidak ada taranya,
Macam angin kencang lajunya,
Tiada siapa yang boleh menandinginya,
Dan tidak pernah menghampakan orang yang meminta,
Sekalipun dia terpaksa berhutang buat sementara,
Kalau ada orang mengata dan menghinanya,
Dia diam sahaja, tidak menjawabnya,
Gembiranya tidak ketawa, hanya senyum sahaja,
Cuma ketaranya pada mukanya,
Bahkan tidak pernah menghina orang atau mengata aibnya,
Sekalipun musuhnya,
Rasulullah makannya sedikit sekadar mengalas perutnya
Dia tidak pernah makan seorang, sekalipun lapar,
Paling tidak, dia makan berdua,
Tapi kalau dia tidak suka setengah jenis makanan itu,
Dia tidak pula mencercanya,
Kalau dia marah dengan orang, disembunyikan marahnya
Sehingga orang tidak tahu marahnya,
Dia tidak pernah melahirkan jijik kepada manusia,
Sebab itu dia sanggup makan dengan orang
berkudis-kudis badannya,
Sabarnya luarbiasa,
Tentang ujian yang Tuhan timpakan kepadanya
berbagai-bagai bentuknya,
Dia redha,
Lantaran itu Tuhan beri dia gelaran ‘Ulul Azmi’
Yang tiada bandingannya,
Bahkan dia ketua ‘Ulul Azmi’, dikalangan rasul-rasul,
Ditangannya lahirlah murid-murid yang luarbiasa,
Diberi gelaran sahabat namanya,
Ratusan ribu banyaknya, lebih seratus ribu bilangannya,
Ini tidak pernah berlaku dikalangan rasul-rasul
sebelumnya,
Semua sahabat-sahabatnya masuk syurga,
Kerana dosa-dosa mereka diampunkan oleh Tuhannya,
Kerana menjadi sahabat-sahabatnya,
Sahabat-sahabatnya laksana bintang-bintang dilangit,
Rasul adalah bulan purnama,
Hatinya tidak tidur sekalipun matanya tidur,
Menunjukan hatinya sentiasa jaga,
Sebab itulah kalau dia tidur tidak membatalkan wudhu’nya,
Dia menghormati manusia sesuai dengan darjatnya,
Sekalipun orang itu kafir,
Kadang-kadang dibentangkan serbannya untuk tempat duduk tetamunya
Kerana menghormati tetamunya,
Dia tidak mengutuk dan melaknat makhluk Tuhan,
Sekalipun binatang yang melata,
Begitu juga tidak pernah melakukan kesalahan,
Sekalipun menyalahi utama,
Kalau dia melihat perempuan, matanya ditundukannya,
Dia orang paling pemalu,
Malunya kalah anak dara yang paling pemalu,
Sebab itu seumur hidup dia tidak pernah
Melihat kemaluannya dan kemaluan isterinya,
Kalau dia lalu, tidak dibenarkan perempuan dihadapannya,
Ibadahnya banyak, terutama diwaktu malam,
Hingga bengkak-bengkak kakinya,
Dia suka berkhidmat dengan isteri-isteri dan keluarga,
Bukan diarah-arahkan oleh isteri-isterinya,
Tapi dia buat dengan sukarela,
Kerana mencari redha Tuhannya,
Dia sebaik-baik suami,
Tidak mampu orang lain membuatnya,
Bahkan dia berkhidmat dengan musuhnya,
Satu cerita yang menyayat hati kita,
Seorang buta yang benci kepadanya.
Rasul berkhidmat tanpa diketahuinya,
Hingga sampai waktu wafatnya,
Diganti oleh Saidina Abu Bakar untuk berkhidmat kepadanya,
Tapi dirasakan olehnya ada kelainan dari sebelumnya,
Kamu ni siapa?
Saidina Abu Bakar berkata “Saya Abu Bakar
Pengganti Rasul berkhidmat kepada kamu,
Yang Rasul itu sudah wafat”
Sibuta itu terkejut!
Rupanya yang berkhidmat padanya orang yang paling
dibenci,
Kerana terkejutnya menjadikan dia mati,
Tapi sempat dia mengucap dua kalimah syahadat,
Islamlah dia,
Kalau dia bersahabat atau berkawan
Mengutamakan kawannya,
Bahkan berkhidmat kepada sahabatnya,
Setiap orang yang bergaul, berpuas hati dengannya,
Setiap orang merasa dia dihormatinya,
Walaupun berbagai-bagai peringkat kedudukannya,
Mari kita teruskan cerita tentang nabi kita,
Supaya lebih terperinci lagi
Cerita dan beritanya,
Dia manusia luarbiasa kekasih Tuhannya,
Agar lebih nampak dia manusia istimewa,
Dia tidak akan makan sebelum lapar,
Dia akan berhenti sebelum kenyang,
Tidak macam manusia biasa,
Dia tidak suka makanan banyak jenis lauknya,
Kalau dia suka kerana Tuhannya,
Kalau dia marah pun kerana Tuhannya,
Bukan kerana peribadinya,
Dia wafat, boleh dikatakan tidak meninggalkan harta,
Dia tidak meninggalkan sembahyang jemaah,
Kecuali sekali saja didalam hidupnya,
Iaitu waktu sakit hingga membawa wafatnya,
Makan minumnya bukan diusahakannya,
Tetapi setiap kali hendak makan, ada rezekinya,
Tapi pengikutnya disuruh berusaha,
Terutama yang ada keluarga,
Dia tidak menerima upah,
Lebih-lebih lagi meminta upah,
Kerana usaha perjuangannya,
Tetapi ulama dihari ini, memakan upah
Dari usaha dakwahnya,
Seperti yang dibuat oleh kebanyakan ulama-ulama yang
cinta dunia,
Bahkan ada ulama yang meminta upah dari dakwah dan
pengajiannya,
Takut dengan Tuhan ketara dimukanya,
Dia beristerikan janda kaya, Khadijah namanya,
Hartanya diserahkan habis kepadanya,
Tetapi nabi korbankan harta itu semuanya,
Dan nabi, kalau dia berkawan, sebaik-baik kawan,
Kalau dia dirumah, sebaik-baik bapa,
Kalau dia bersama isteri, sebaik-baik suami,
Kalau dia memimpin, sebaik-baik pemimpin,
Kalau dia bercakap lantang suaranya,
Tegang urat marihnya,
Kalau dia bercakap bak mutiara,
Sangat berkesan pada jiwa orang yang mendengarnya,
Kalau dia berucap atau berpidato,
tidak ada gelak ketawa manusia yang mendengarnya
Kerana manusia yang mendengar insaf dibuatnya,
Tidak seperti ulama-ulama hari ini,
Kalau mereka bercakap gelak ketawa orang yang
mendengarnya,
Kerana yang dicakapkan itu dari lidahnya,
Bukan dari hatinya,
Nabi kalau bercakap singkat-singkat sahaja, tidak
meleret,
Tidak seperti kebanyakan manusia,
Dia bercakap pendek sahaja,
Tapi terhimpun berbagai-bagai ilmu didalamnya,
Dikatakan oleh hadis ‘jawa miul kalim’
Kata-katanya singkat tapi padat,
Kata-katanya singkat tapi maksudnya luas,
Kata-katanya singkat tapi puas dan menggetarkan jiwa,
Tidak seperti orang lain bercakap berjela-jela, isinya
tiada,
Masa terbuang cakapnya tidak menggetarkan jiwa,
Kita sambung lagi cerita nabi kita,
Nabi tidak suka berjalan-jalan membuang masa,
Juga tidak akan bercakap yang sia-sia,
Sekalipun tidak berdosa,
Kalau dia ketawa tidak berbunyi,
Insafnya dapat dilihat dimukanya,
Takutnya kepada Tuhan dimukanya ketara,
Dia melahirkan kegembiraan bila
Kawan-kawannya gembira,
Dia melahirkan kesedihan diatas kesedihan
kawan-kawannya,
Rasulullah mudah menangis
Kerana takuntukan Tuhannya,
Rasulullah tahu Tuhan kasih kepadanya,
Akhlaknya sungguh agung,
Tuhan memujinya,
Bahkan mengatakan dia yang paling bertaqwa dikalangan
manusia
Sebelum dan sesudahnya,
Seolah-olah dia tidak mendengar apa yang Tuhan kata
terhadap dirinya,
Tuhan berkata “Akhlaknya, sungguh agungnya,
tidak ada siapa boleh menandinginya,
tetapi dia tidak merasa bangga, dia tetap merasa
hamba”
Dia tetap dapat mengekalkan rasa takut dengan
Tuhannya,
Rasa kehambaan sentiasa didalam hatinya,
Bahkan tidak pernah putus daripada perasaannya,
Soal Tuhan memujinya itu hak Tuhannya,
Tapi dia tetap merasa hamba kepada Tuhannya,
Tawadhu’ dengan Tuhannya, sentiasa ada,
Sangat ketara, didalam hidupnya,
Dia berpakaian jubah dan serban,
Warna yang dia suka kebanyakannya putih dan hijau,
Warna lain ada juga dipakainya,
Tapi sekali sekala,
Makan yang dia suka, susu dan tamar,
Daging sebagai lauknya,
Itulah penguat badannya,
Demikianlah secara ringkas
Yang global tentang cerita nabi kita,
Yang tidak disebut berusahalah untuk mempelajarinya,
Didalam sejarah nabi kita ada dicerita,
Mukjizat banyak berlaku ditangannya,
Yang lahir dan yang batin,
Yang besar ialah Al Quran dan Al Hadith,
Yang kekal sampai keakhir zaman,
Untuk pengajaran dan panduan kepada manusia,
Demi keselamatan manusia dunia dan akhiratnya,
Tetapi apa yang disebutkan itu
Sudah memada,
Bagi orang yang tiada masa mengkajinya,
Kalau peribadi seseorang itu dapat menggambarkan
bayangan nabi kita,
Orang itu boleh menjadi ikutan manusia,
Kalau dia memimpin, Tuhan memberkatinya,
Betapalah kalau dia pemimpin yang Tuhan janjikan buat
manusia,
Tetapi apa yang berlaku diakhir zaman ini,
Orang yang menceritakan nabi,
Dia melupakan diri,
Dia menceritakan memujikan nabi,
Tapi dirinya tidak terpuji,
Kerana itulah banyak cakap tidak memberi kesan
Seseorang itu banyak cakap tidak menggambarkan sikap
nabinya,
Walaupun dia seorang pemimpin,
Orang tidak suka mengikutnya,
Lidahnya tidak masin,
Dia berkata tidak mengkotanya,
Bahkan orang yang mengata dan mencerca dibelakangnya,
Bahkan anak isterinya tidak menghormatinya,
Sekianlah adanya.

Monday, December 31, 2012

Selamat Datang Kepada Guru Baru


Selamat datang dan selamat berkhidmat di SK felda Jerangau Barat diucapkan kepada guru baru Pn Norsuhada Bt Ahmad yang bertukar dari Sk LKTP Jerangau Dungun.
NORSUHADA BT AHMAD

Semoga dapat menserasikan diri sebagai warga SKFJB dan menabur khidmat dan bakti untuk kecemerlangan SKFJB hendaknya.

Kepada guru-guru yang mohon bertukar keluar diharap dapat bersabar, suatu hari nanti pasti akan menjadi kenyataan...berusaha dan berdoalah semoga permohonan anda akan diluluskan untuk sesi pertukaran akan datang.

Friday, December 28, 2012

Mesyuarat JKS, HEM dan Ko (26 Disember 2012)



26 Disember 2012 : Bilik Ibnu Sina - Telah berlangsung mesyuarat guru 1/2013. Mesyuarat lebih kepada perancangan sekolah sepanjang 2013 dan pengagihan jawatankuasa Kurukulum, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum.

Semoga SKFJB terus menuju puncak jaya untuk sesi 2013. Warga sekolah telah menunjukkan komitmen yang jitu dan saling bahu membahu dalam usaha meningkatkan kualiti dan kuantiti kemenjadian murid. Namun tanpa kemenjadian guru tidak mungkin akan melahirkan kemenjadian murid. Justeru itu semua pihak harus saling berkerja keras, menambah ilmu pengetahuan dan yang paling penting adalah meningkatkan sikap diri dalam menjalankan kerja buat dengan berpegang kepada prinsip kita seumpama batu bata yang saling perlu memerlukan atau pegang memegang bagi menjadi kuat dan merealisasikan apa yang kita hasratkan seiring dengan visi dan misi yang telah ditetapkan. Disamping itu sentiasa muhasabah diri dan sayangi Allah untuk dapat 101% serta dibajai sifat ikhlas dalam diri agar segalanya mendapat keberkatan dan keredhaan Ilahi. InsyaAllah


tulisan/hem


Monday, December 24, 2012

Syabas!! 3 Orang Pelajar 5A UPSR Berjaya ke SBP


1. MUHAMMAD AMIRUL AIMAN BIN MOHD AZAM

     Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT)

2. ANIS NURINA BINTI ABDULLAH

     Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT)

3.mUHAMMAD AFIQ BIN MAM

     Sekolah Menengah Sains Jeli, Kelantan

Sunday, December 23, 2012

Keputusan UPSR 2012


PELAJAR YANG BERJAYA MENDAPAT 5A



                    1. MUHAMMAD AMIRUL AIMAN BIN MOHD AZAM
                    2. MUHAMMAD AFIQ BIN MAM
                    3. ANIS NURINA BINTI ABDULLAH
                    4. NURUL IYLIA MAISARAH BINTI RAMLI
                    5. ZATIL AKMAL BINTI MUSTAFA


PELAJAR YANG BERJAYA MENDAPAT 4A 1B

1. MUHAMMAD DANIAL BIN MOHD YUSOF
 2. MUHAMMAD AIZUL IDHAM BIN MANSOR


Wednesday, December 5, 2012

10 Kebaikan Cukup Tidur Malam



Sebagai manusia biasa kita memerlukan tidur yang cukup setiap malam iaitu antara 7 hingga 9 jam. Kajian menunjukkan bahawa orang yang tidur kurang dari 6 atau 7 jam se malam berisiko mendapat banyak penyakit. Dalam kehidupan yang serba canggih ditambah pula dengan tekanan serta gaya hidup sekarang ini, agak sukar bagi kita mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti. Mungkin ini adalah salah satu sebab banyak sangat orang yang berpenyakit sekarang ini.
Di antara kebaikan cukup tidur ialah:

1. Jantung sihat
Serangan sakit jantung dan strok biasanya berlaku pada awal pagi. Kurang tidur akan menaikkan lagi tekanan darah dan paras kolesterol yang menjadi punca kepada penyakit jantung dan strok. Oleh itu, cukup tidur setiap malam (7 – 9 jam) adalah diperlukan supaya jantung lebih sihat.

2. Mencegah kanser
Orang yang bekerja sehingga lewat malam atau bekerja giliran malam adalah berisiko tinggi mendapat kanser payudara atau kanser kolon kerana mereka lebih banyak terdedah kepada cahaya lampu pada waktu malam. Sebenarnya, terdedah kepada cahaya lampu akan menurunkan paras melatonin dalam darah. Hormon melatonin ialah hormon yang menyebabkan kita mengantuk dan juga berfungsi menentang kanser kerana melatonin berupaya membantutkan pertumbuhan tumor kanser. Oleh itu, kita digalakkan tidur malam dalam gelap (tidak memasang lampu) bagi membolehkan badan kita mengeluarkan jumlah melatonin yang diperlukan.

3. Kurangkan stres
Apabila tidak cukup tidur malam, esoknya badan akan letih dan stres yang boleh meningkatkan tekanan darah dan pengeluaran hormon stres. Seterusnya, tekanan darah tinggi akan meningkatkan risiko mendapat serangan sakit jantung dan strok. Hormon stres pula akan menyebabkan sukar tidur. Oleh itu, tidur yang cukup diperlukan oleh badan bagi mengurangkan stres.

4. Kurangkan keradangan
Peningkatan paras hormon stres akan meningkatkan proses keradangan dalam badan yang juga merupakan salah satu faktor penyebab risiko penyakit jantung, kanser dan diabetes. Keradangan juga mempercepatkan proses penuaan daripada sepatutnya.

5. Menyegarkan badan
Tidur malam yang cukup membolehkan badan mengumpulkan lebih banyak tenaga, tidak mengantuk selepas bangun dan sentiasa segar untuk menjalankan tugas harian.

6. Menguatkan ingatan
Mimpi semasa tidur dapat menguatkan daya ingatan kerana semasa badan rehat waktu tidur nyenyak, otak pula sibuk memproses segala pengalaman dan peristiwa yang dilalui dan mengaitkannya dengan perasaan dan ingatan seseorang. Oleh itu, mendapat tidur yang berkualiti (cukup tidur tanpa gangguan) akan menghasilkan daya ingatan yang lebih baik.

7. Membantu menurunkan berat badan
Kebanyakan kita menganggap bahawa dengan kurang tidur dapat menguruskan badan, tetapi kajian terkini menunjukkan sebaliknya di mana orang yang mempunyai habit tidur malam kurang dari 7 jam mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Ini kerana kurang tidur menyebabkan hormon dalam badan tidak seimbang yang mempengaruhi selera makan. Ini kerana pengeluaran hormon ghrelin dan leptin yang diperlukan bagi mengawal selera makan akan terganggu kerana kurang tidur. Ini menjadikan seseorang itu mempunyai selera makan yang sukar dikawal.

8. Tidur sebentar waktu siang lebih sihat dan produktif
Tidur sebentar waktu siang, sebaik-baiknya sebelum waktu zohor, digalakkan dalam Islam kerana ini adalah amalan sunnah Rasullulah SAW sejak 1434 tahun yang lalu, bagi mengembalikan tenaga.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailullah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zuhur) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.” (HR Ibnu Abbas)
Sejak kebelakangan ini beberapa kajian dilakukan bagi melihat keberkesanannya, contohnya kajian di Greek ke atas 24,000 orang dewasa yang tidur sebentar waktu siang beberapa hari seminggu dapat menurunkan risiko mati disebabkan penyakit jantung. Tidur sekejap waktu siang juga dapat memperbaiki daya ingatan, fungi kognitif dan mood. Dapatan ini mengesahkan manfaat tidur sekejap waktu siang seperti yang biasa diamalkan oleh orang Islam.

9. Mengurangkan risiko kemurungan (depresi)
Cukup tidur malam juga menggalakkan pengeluaran hormon serotonin, sebaliknya kurang tidur akan mengganggu pengeluaran serotonin yang menyebabkan kemurungan. Oleh itu, bagi mencegah kemurungan, pastikan kita cukup tidur selama 7-9 jam setiap malam.

10. Membantu memperbaiki sistem badan
Semasa tidurlah badan kita memperbaiki apa-apa kerosakan sel atau tisu badan yang disebabkan oleh stres, sinaran UV, dan lain-lain keroskan. Lebih banyak protein dihasilkan semasa tidur dan protein inilah yang membentuk sel-sel baru bagi menggantikan atau memperbaiki sel-sel yang rosak.

sumber
http://sitik.wordpress.com/2012/12/02/10-kebaikan-cukup-tidur-malam/

Tuesday, October 2, 2012

Lawatan Pengauditan Pengurusan Kewangan Dan Kontrak (30 September 2012)

30 SEPT 2012 - Seramai 2 orang pegawai daripada bahagian audit dalama kementerian pelajaran Malaysia telah berkunjung ke sekolah untuk tujuan pengauditan perkara berikut :

1. MBMMBI
2. 1 Bestarui Net
3. Kontrak Perkhidmatan Kebersihan bangunan dan Kawasan
4. Perkhidmatan Kawalan Keselamatan
5. Makmal Komputer
6. mPeruntukan Penyelenggaraan KIP 2012
7. Bilangan Unit Kuarters Institusi pendidikan
8. PS1M
9.RMT

Alhamdulillah proses pengauditan berjalan lancar kerana pihak sekolah telah bersedia dalam semua perkara yang hendak di audit. Pihak audit juga telah berpuas hati dengan persediaan oleh pihak sekolah dan sebarang teguran yang baik akan dikekalkan dan ditambahbaik lagi pada masa akan datang dan apa yang terkurang atau sebarang eklemahan yang adal akan diperbaiki dari masa ke semasa.




Terima Kasih kepada semua warga SKFJB yang sentiasa memberi komitmen dan dalam semua perkara untuk nama nama baik dan kecemerlangan sekolah dan tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan kepada En Anuar dan Cik N.T Shanmuganathan pegawai audit dalamam KPM di atas tugasan mereka bagi memastikan sekolah bagi memastikan pengurusan kewangan dan kontrak diurus dengan teratur serta mematuhi peraturan kewangan dan kontrak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...