
Kementerian
Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Beliau,
yang juga menteri pendidikan berkata perubahan nama kementerian itu
diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lepas
setelah pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat
berbanding pelajaran.
“Pakar bahasa berpendapat istilah
pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya
juga telah beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baru, malah
nama kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya
kepada wartawan Malaysia di Phuket.
Beliau berkata proses
penggabungan dua kementerian - Kementerian Pelajaran dan Kementerian
Pengajian Tinggi - yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan telah
bermula sejurus kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi
kesukaran kerana kedua-duanya mencakupi proses pembelajaran dan
pengajaran yang berasal daripada satu kementerian sebelum dipisahkan.
Muhyiddin
berkata penggabungan itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah
rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan
pembangunan sendiri kecuali aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah
satu kementerian dengan mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.
“Saya
telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk
dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang
dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana minggu depan akan ada
perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya
dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa Inggeris
kementerian itu kekal dengan panggilan 'Ministry of Education'.
Beliau
berkata walaupun digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku
perubahan terhadap dasar yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan
itu menghasilkan penjimatan dari segi guna tenaga dan kepakaran
kakitangan.
Muhyiddin berkata sebagai contoh, koordinasi dua
kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana kepakaran
tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh
digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah
rendah dan menengah kebangsaan.
Dalam perkembangan berkaitan
beliau berkata cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar
di Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya
akan melibatkan perubahan kepada dasar tertentu.
Muhyiddin
berkata proses pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan
sebelum ini tetapi tidak mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan
berikutan jumlah pelajar yang tidak begitu ramai.
“Itu
sebenarnya bukan baru tetapi setelah ada pihak yang mencadangkan
sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana kita nak melaksanakannya
secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu orang bukan Melayu melihat
Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah Melayu
dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.
“Persoalan
besar yang mencabar kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita
perlu sediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki
lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah...jadi sebelum
kita nak buat keputusan yang melibatkan dasar kita perlu kaji dengan
sebaik-baiknya,” katanya.
-
Bernama