Thursday, July 5, 2012

Kem Kecemerlangan UPSR 2012 (13-15 Jun 2012)




SK FELDA Jerangau Barat telah mengadakan Kem Kecemerlangan UPSR sebagaimana berikut:-
Tarikh            :           13 – 15 Jun 2012 ( Rabu hingga Jumaat )
Tempat          :           D’Pengkalan Nature & Lodge, Rantau Abang, Dungun
Bil. Peserta   :           43 calon UPSR 2012

Program bertujuan memberi persediaan secukupnya kepada murid-murid Tahun 6 menjelang Peperiksaan UPSR yang akan menyusul pada bulan September nanti. Seramai 10 orang guru dan 43 orang murid telah menyertai kem kecemerlangan ini. Program selama 3 hari 2 malam ini telah dimantapkan dengan kehadiran lima orang fasilitator jemputan yang sememangnya pakar dalam bidang masing-masing.

Hari Pertama (Rabu)
Perjalanan bermula pada jam 11.30 pagi dan sampai pada jam 12.30 tengahari. Slot yang pertama bermula pada pukul 2 petang iaitu Ice-Breaking Session yang mana murid-murid bersuai kenal dengan lebih erat di samping melakukan aktiviti yang merangsang minda kreativiti mereka. Pada sebelah petang pula, aktiviti riadah dilaksanakan di bawah kendalian AJK UPSR. Slot Matematik diadakan pada jam 8 hingga 10 malam dan dikendalikan oleh Y.M. Tengku Halim bin Tengku Ahmad dari SK Batu 7, Dungun. Beliau memperkenalkan beberapa kaedah pengiraan cepat Matematik kepada murid-murid di samping teknik-teknik berkesan menjawab soalan bagi subjek tersebut.

Hari Kedua (Khamis)
Fasilitator bagi subjek Bahasa Inggeris yang juga merupakan Guru Besar SK Gong Pasir, Puan Nik Hamidah binti Nik Ibrahim mengisi slot pagi pada hari kedua. Beliau merupakan Ketua Pemeriksa Kertas Bahasa Inggeris UPSR bagi daerah Dungun dan mempunyai banyak pengalaman serta kepakaran dalam subjek tersebut. Pada jam 2 petang, teknik menjawab subjek Sains telah disampaikan oleh Encik Rosmadi bin Abdullah dari SK Sura, Dungun yang merupakan pakar dalam subjek tersebut. Kehadiran dan kepakaran beliau diharap dapat membantu murid-murid menjawab soalan Sains dengan betul. Aktiviti riadah dilaksanakan pada sebelah petang untuk memupuk semangat jati diri murid-murid bagi menghadapi cabaran akan datang. Subjek Bahasa Malaysia mengambil tempat pada sebelah malamnya. Slot ini dikendalikan oleh guru pakar,  Encik Mohammad bin Ibrahim dari SK Batu 48, Dungun. Beliau telah menyampaikan ceramah tentang teknik-teknik yang betul bagi menjawab soalan Bahasa Malaysia.

Hari Ketiga (Jumaat)
Pada hari terakhir, jam 8 pagi, slot motivasi telah diadakan. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh guru kaunselor dari SMK Tengku Intan Zaharah iaitu Encik Musa bin Awang. Beliau memperkenalkan teknik mengingat di samping memupuk semangat ingin berjaya di kalangan murid-murid. Setelah selesai ceramah motivasi, murid-murid bersiap sedia untuk pulang ke SK FELDA Jerangau Barat pada jam 11.30 pagi.


Kesimpulannya, Kem Kecemerlangan UPSR 2012 ini banyak memberi impak yang positif dalam diri pelajar. Sesungguhnya besarlah harapan kami  agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...